My Followers...=)

Cerpenku


   NOSTALGIA CINTA TERINDAH
Oleh : Nadzirah Binti Abdul Latip


       Irah sedang melipat baju di ruang tamu sambil menunggu kepulangan suaminya yang tercinta, Adam Hairi. Sejak akhir-akhir ini, Adam sering pulang lewat sehingga Irah ketiduran menunggu kepulangannya. Mungkin Adam sibuk dengan kerjanya di pejabat. Sikap Adam tidak seperti dulu yang sentiasa balik awal untuk makan bersama-samanya. Alangkah bahagianya pada masa itu. Irah berhenti bekerja atas permintaan suaminya yang tidak suka isterinya bekerja. Walaupun, Irah suka dengan kerjanya tapi Irah harus patuh dengan permintaan suaminya.

    Tok! Tok! Tok! Kedengaran pintu diketuk dengan kuat sekali. Kelam-kabut Irah berlari membuka pintu itu. Irah pasti yang mengetuk pintu itu ialah Adam.
    
     “Hoi, kenapa kau lambat buka pintu ni hah? Sakit tangan aku asyik ketuk pintu,” marah Adam.

    “Maaf, bang. Irah tak sengaja,” balas Irah sambil menundukkan kepalanya.

    “Apa maaf-maaf? Aku penat kerja di pejabat sampai lewat, kau duduk senang-lenang saja di rumah,” sergah Adam kepada Irah.

    “Irah minta maaf banyak-banyak. Ampunkan Irah, bang,” balas Irah dengan tangisan air mata.

   “Ah,sudahlah kau. Jangan pura-pura menangis depan aku.” Adam menolak Irah di lantai dengan kuatnya. Dia berlalu pergi dengan perasaan marah yang membuak-buak.

     Sudah sebulan sikap Adam begitu. Balik rumah marah-marah, membaling barang yang ada di depan matanya. Tiada lagi panggilan ‘sayang’ atau ‘Irah’ baginya. Adam hanya menggunakan ‘aku’ dan ‘kau’  ketika bercakap dengan Irah. Walau apapun, Irah hadapinya dengan penuh sabar. Malah, Irah beranggapan suaminya mungkin menghadapi masalah dengan kerjanya di pejabat. Tapi hati Irah masih tertanya-tanya mengapa sikapnya berubah sekelip mata.

    Bahagianya Irah ketika majlis perkahwinannya dengan Adam dulu. Irah masih ingat lagi kata-kata Adam selepas akad nikah.

     “Abang akan jaga Irah dengan baik sehingga akhir hayat. Abang takkan persiakan hidup Irah. Abang akan mencintai Irah seadanya,” kata Adam sambil mencium dahi Irah.
     “Irah pun mencintai abang dengan sepenuh hati Irah,” ucap Irah dengan titisan air mata.

     Kata-katanya masih terngiang-ngiang dalam ingatan Irah. Irah takkan lupakan kata manisnya. Irah tersenyum sendiri mengenang masa lalunya. Kini Irah berasa hampa dengan tingkah laku Adam yang tidak mempedulikannya.


*********************************

     Setahun sudah berlalu, Irah masih lagi seperti dulu. Tetapi sejak kebelakangan ini, Irah tidak ada selera makan dan sering berasa mual. Adakah ini petanda Irah mengandung? Walau apapun, Irah masih ragu-ragu untuk menyatakan dirinya mengandung. Irah memutuskan untuk berjumpa dengan doktor. Irah cuba menelefon Adam untuk meminta izin berjumpa dengan doktor. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya Adam menjawab panggilannya.

     “Assalamualaikum, bang,” sapa Irah dengan lembut.
     “Walaikumsalam..kau mahu apa? Aku sibuk ni ada meeting di pejabat,” balasnya seperti tiada perasan sayang dengan Irah.

     “Err… Irah nak jumpa doktor ni. Boleh ke bang? Kalau abang nak ikut, boleh juga,” kata Irah dengan penuh harapan dia menemaninya.

    “Abang sibuk ne. Kau tak faham ke atau tak reti bahasa? Kalau kau mahu pergi, pergilah. Jangan telefon-telefon aku di sini. Faham!,” sergahnya dengan perasaan marah.

     “Baiklah, bang. Irah minta maaf kalau Irah mengganggu abang,” kata Irah dengan rasa kecewa.

     *********************************

        Irah menaiki teksi menuju ke Klinik Aisyah, klinik milik kawannya. Sudah lama Irah tidak bertemu dengan kawan baiknya. Irah melangkah masuk ke dalam klinik itu. Begitu ramai sekali pesakit yang mendaftar di sana. Irah ikut serta beratur untuk mendaftar nama di kaunter klinik tersebut. Irah melabuh punggungnya di atas kerusi panjang. Ketika dia sedang menunggu gilirannya, Irah terlihat pasangan suami isteri yang sedang bermesra-mesraan. Si isteri yang mengandung sedang meletakkan kepalanya di bahu suaminya yang sedang menunggu untuk mengambil ubat untuk isterinya. Alangkah bahagianya jikalau si isteri itu dia dan suami itu Adam.

      “Nadzirah Aleeya!” jururawat memanggil namanya. Lamunan Irah terhenti seketika.

     “Silakan masuk, Irah. Dah lama kita tak berjumpa,” kata Doktor Aisyah.

     “Yelah, awak tu sibuk memanjang saja.” Balas Irah dengan nada merajuk.

     “Ala… janganlah merajuk kawan. Nanti saya belanja kau makan. Nak tak?” Aisyah cuba memujuk dia.

    “Eh, saya main-main je, Aisyah. Apa khabar awak dengan suami awak?” Tanya Irah.

    “Alhamdulilah, kami baik-baik jak. Anak-anak pun sihat. Okeylah kita berbual nanti ya. Awak sakit apa?” Tanya Aisyah kepada Irah.

    “Err… sejak kebelakangan ni, saya pening kepala dan selalu rasa loya.” Kata Irah sambil memegang kepala.

   “Hmmm… biar saya periksa dulu,” kata Aisyah.

    “Tahniah, Irah. Awak disahkan mengandung tiga bulan.” kata Doktor Aisyah dengan gembiranya setelah selesai memeriksa Irah.

      “Betul ke, Aisyah?” Tanya Irah yang kurang pasti.

      “Ingat saya main-main ke? Betullah ni. Eh, mana suami awak?” Tanya Aisyah.

      “Dia ada meeting. Jadi tak dapat datang,” jawab Irah dengan penuh hampa.

     “Ow, kirim salam dengannya ya,” kata Aisyah sambil menulis resit ubat.

     “Ok. Nanti saya sampaikan. Terima kasih banyak-banyak, Aisyah,” balasnya. Irah keluar dari bilik itu dengan senang hati.

      Alangkah gembiranya hatinya. Kesedihan yang Irah hadapi selama ini hilang serta-merta kerana mengandungkan anak suaminya, Adam. Tentu Adam gembira bila dengar berita baik ini.

      Ketika Irah sedang berjalan menuju ke perhentian bas, Irah seakan-akan ternampak kelibat seseorang yang Irah kenali bersama seorang perempuan cantik yang sedang berpeluk-pelukan di sebuah kedai baju. Ah, tidak mungkinlah Adam berada di sini, mungkin dia ada meeting di pejabat. Tiba-tiba lelaki itu menoleh ke arahnya. Irah bersembunyi di sebalik dinding kedai itu. Alangkah terkejutnya apabila lelaki yang menoleh itu rupa-rupanya suami yang Irah cintai. Sememangnya Adam tidak mempunyai kakak atau adik perempuan. Setelah Irah mengamati wajah perempuan itu, Irah tahu dirinya tidak setanding dengan perempuan itu. Irah berlalu pergi dengan linangan air mata. Hancur harapannya untuk memberitahu khabar gembira tadi.


*********************************

      Jam dinding di rumah menunjukkan pukul dua pagi. Irah menanti kepulangan Adam seperti biasa. Irah ingin bertanya tentang peristiwa pagi tadi tapi ragu-ragu untuk bertanya dengannya.

      Vroommmmm!! Bunyi kereta kedengaran dari luar, itu menunjukkan suaminya sudah pulang.

       “Abang baru balik?” Sapa Irah dengan baik.

       “Pura-pura tanya lagi. Kau tak nampak aku ke?” Marah Adam sambil melonggarkan tali lehernya.

     “Err..Irah nak tanya sesuatu kat abang.” Balas Irah dengan ketakutan.

     “Apa kau mau tanya dengan aku?” Katanya dengan kasar sekali.

     “Err..abang meeting ke tadi?” Tanya Irah kepada Adam.

     “Yelah. Kau tak percaya aku ke? Balasnya.

     “Tapi Irah nampak abang dengan seorang perempuan pagi tadi,” kata Irah dengan berani.

      “Ish, mana ada abang keluar dengan perempuan,” Adam cuba menipunya.

      “Tapi..tapikan bang..” Kata Irah dengan semangat yang kuat.

       “Ow, kau pandai melawan cakap aku ya!” Adam  menghampirinya dan menarik rambut Irah dengan tangan yang kuat.

      “Sakit… Sakit, bang. Ampunkan Irah, bang.” Bercucuran air mata Irah menahan kesakitan.

      Adam menolak Irah sehingga Irah terjatuh terkena bucu meja. Tiba-tiba darah mengalir di kepala Irah. Adam pergi meninggalkan Irah yang sedang kesakitan. Irah menangis teresak-esak atas perbuatan Adam.  Irah masih tertanya-tanya “Adakah kau masih mencintaiku lagi, Adam?


*********************************

     Tiga bulan sudah berlalu, Adam masih lagi tidak pulang-pulang ke rumah. Adam tidak dapat dihubungi melalui telefon bimbitnya. Irah sudah cuba menelefonnya beberapa kali namun keputusannya tetap sama. Walau apapun, Irah tetap setia menunggu kepulangan Adam. Perbelanjaan seharian Irah tidak dapat menampung lagi. Irah menggunakan duit simpanannya di bank. Irah takut untuk memberitahu ibu bapa dan mertua kerana ini akan menambahkan lagi kesedihan dan kerisauan mereka. Biarlah Irah menangani masalah ini tanpa membebankan mereka.

       Kandungan Irah sudah mula membesar dan kadang-kadang tidak larat untuk membuat semua kerja di rumah. Irah terpaksa menjalankan pemeriksaan kandunganku sekali seminggu dengan menaiki bas untuk berjimat. Beberapa hari lagi ialah hari ulangtahun perkahwinan Irah dengan Adam dan dia ingin meraikan bersama Adam. Mungkin dia pulang semasa hari ulangtahun perkahwinan. Irah merancang untuk membuat kejutan untuknya di rumah.

*********************************
                                                      
         Pada hari yang Irah nantikan, Irah bersemangat untuk bangun pagi menyiapkan kerja apa yang patut dibuat. Setelah siap semua kerjanya, Irah keluar untuk membeli kek dan hadiah. Ketika dalam perjalanan ke kedai, Irah memikirkan hadiah yang patut diberi kepada Adam.

        Ketika Irah memilih kek kegemaran Adam, seorang budak comel datang ke arahnya sambil memberi sebiji gula-gula.

      “Nah, ambillah gula-gula ni, auntie.” katanya dengan nada ceria.

      “Terima kasih, sayang. Baiknya hati.”balas Irah sambil tersenyum. Budak itu berlalu pergi bersama ibu bapanya.

       Comelnya budak tu, mesti anakku nanti membesar sepertinya. Kata Irah dalam hati sambil membelai perutnya.

       Selesai rancangannya membeli kek dan hadiah untuk Adam, Irah berjalan menuju ke perhentian bas dengan perasaan gembira. Tiba-tiba sebuah motosikal menuju ke arah Irah dengan laju dan pemboncengnya meragut begnya dengan kuat.

   “Tolong…tolong!” jerit Irah dengan sekuat hati.

    Irah masih lagi mengenggam begnya. Tapi malangnya, pembonceng itu tidak melepaskan beg itu dan membawa motosikalnya dengan laju sehingga Irah terheret ke tengah jalan raya.

      Tiba-tiba, sebuah kereta lagi menerpa ke arahnya dan melanggar Irah. Pemandu kereta itu memberhentikan keretanya.

      “Eh, abang langgar oranglah,” kata perempuan yang berada di sisi pemandu itu.

     “Takpe, sayang duduk je dalam kereta. Biar abang pergi tengok dulu,” kata pemandu itu.

       Darah mengalir di tubuh Irah dengan banyak. Orang ramai sudah berkerumun sekelilingnya. Irah mengamati wajah pemandu itu yang seakan-akan seperti wajah suaminya, Adam. Penglihatan Irah tiba-tiba menjadi gelap.

       
         *********************************

       Di hospital, Adam mundar-mandir di hadapan pintu ICU. Dia berasa risau dan terkejut melihat keadaan Irah yang sedang mengandungkan anaknya. Dia menyesal atas perbuatannya meninggalkan Irah yang terkapai-kapai di rumah.

      “Ya Allah, apa aku dah buat terhadap isteriku,” rasa bersalah menyelubunginya sehingga membuat dirinya mengigil. Adam memegang kek dan hadiah yang Irah beli. Kini baru dia tahu, hari ini merupakan hari ulangtahun perkahwinannya dengan Irah. Doktor keluar dari pintu kecemasan dengan muka yang sedih.

   “Bagaimana dengan keadaan isteri dan anak saya, doktor?” Tanya Adam dengan penuh harapan.

   “Maafkan saya. Kedua-duanya tidak dapat diselamatkan. Encik bawa-bawalah bersabar. Kita doakan mudah-mudahan mereka tenteram di sana,” kata doktor itu sambil menepuk bahu Adam yang sedang menangis.

   “Ya Allah, kenapa aku buat Irah begini?” Adam terjelepuk di lantai dengan berjuta-juta penyesalan.  Tangannya masih memegang beg berisi hadiah kepunyaan Irah. Sekilas, matanya tertumpu pada sekeping kad merah jambu. Lantas, diang mengambil kad itu dan membukanya.
Assalamualaikum..
Untuk suamiku yang tercinta, Adam Hairi,
    Selamat hari ulangtahun perkahwinan yang pertama.. Irah sayang dengan abang tapi sejak akhir ni panggilan ‘sayang’ hilang begitu saja. Irah teringin sangat abang panggil Irah ‘sayang’. Tapi apakan daya, abang dah banyak berubah. Maafkan Irah kalau Irah ada buat salah dengan abang. Irah minta maaf sebab merahsiakan kandungan Irah. Irah tidak sempat memberitahu khabar gembira dengan abang sebab abang pergi meninggalkan Irah begitu saja. Walau apapun, Irah maafkan abang seadanya. Halalkan makan minum Irah selama ini. Terima kasih sebab abang sudi terima Irah sebagai isteri abang.
Salam sayang buat abang. Ikhlas dari Irah…


Adam tunduk membisu seketika. Adam mengingati setiap perbuatannya terhadap Irah. “Ya Allah, kejamnya aku,” kata Adam sambil menitis air mata.
          
          ”Maafkan abang, Irah,” Adam melangkah longlai ke arah mayat isterinya. Ditatap wajah yang putih tidak bernyawa itu lantas dikucup dahinya. Air matanya tidak berhenti mengalir.


~TAMAT~





Coretan,